FURY (kiri) akan menentang Joshua di Arab Saudi. FOTO AFP
FURY (kiri) akan menentang Joshua di Arab Saudi. FOTO AFP
AFP

London: Tyson Fury berkata pertarungannya dengan Anthony Joshua untuk merebut gelaran heavyweight dunia bakal berlangsung di Arab Saudi pada 14 Ogos depan.

"Pengumuman besar. Fury menentang Joshua pada 14 Ogos di Arab Saudi. Acara sukan terbesar dunia ini akan membabitkan pertarungan kami," menurut Fury dalam Twitternya.

Kedua-dua jaguh tinju Britain itu masing-masing memegang kesemua empat versi utama gelaran heavyweight dunia.

Arab Saudi menjadi tuan rumah pertarungan ulangan Joshua dengan Andy Ruiz ketika jaguh Britain berusia 31 tahun itu merampas kembali gelaran WBA, IBF dan WBO pada Disember 2019 sekaligus membolehkannya menentang Fury yang muncul juara WBC tak lama selepas itu.

Dalam videonya di Twitter, Fury berkata: "Saya terima berita besar. Saya baru sahaja berbual dengan Putera Khalid dari Arab Saudi dan dia beritahu saya pertarungan ini 100 peratus pada 14 Ogos."

Fury setahun lebih tua daripada Joshua menambah: "Seluruh dunia akan tertumpu di Arab Saudi. Saya tak sabar. Saya ulang, tak sabar belasah Anthony Joshua di pentas terbesar sepanjang zaman.

"Pertarungan ini akan menjadi acara terbesar dunia, jadi pastikan anda tidak terlepas menyaksikannya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 11:40 AM