Pemain tenis nombor satu dari Serbia, Novak Djokovic. FOTO AFP
Pemain tenis nombor satu dari Serbia, Novak Djokovic. FOTO AFP
AFP

Rome: Novak Djokovic berkata kejuaraan Masters 1000 baru-baru ini yang dimenangi pemain generasi baharu adalah bukti jelas perubahan akan berlaku dalam kelompok pemain lelaki utama tenis dan kedudukan sebagai pemain nombor satu kini berdepan ancaman.

Dua daripada tiga juara Masters tahun ini, Stefanos Tsitsipas dan Hubert Hurkacz, menjadi juara pertama kali, manakala Matteo Berrettini mara ke final pertamanya di Terbuka Madrid.

Alexander Zverev kembali minggu ini di Rome, gelanggang yang menyaksikan kejuaraan Masters pertamanya pada 2017, masih segar dalam kejayaan kedua di ibu kota Sepanyol - dan keempat keseluruhan pada peringkat ini.

"Keputusan ini membuktikannya," kata Djokovic yang terkandas di kejohanan dekat Madrid, menjelang aksinya dalam kempen mempertahankan kejuaraan di Terbuka Itali.

"Pemain seperti Tsitsipas, Zverev, Berrettini, (Andrey) Rublev yang menang berdepan semua pemain seperti kami dan beraksi lebih banyak dan mengumpul mata ranking mereka. Begitu juga (Daniil) Medvedev, sudah tentu dan mencabar untuk kedudukan teratas.

"Dominic Thiem sudah pastinya bersaing di sana sudah lama. Tidak dapat dielakkan bahawa ia akan berlaku. Perubahan pada ranking pemain lelaki makin jelas dapat dilihat.

"Kemungkinan ia akan berlaku dalam tempoh sebulan atau setahun atau lain-lain, saya tidak tahu."

Mac lalu, Djokovic mengatasi rekod Roger Federer sebagai antara pemain nombor satu paling lama bertahan dalam senarai ranking.

Namun sensasi Serbia yang memenangi kejuaraan utama ke-18 di Terbuka Australia pada Februari, menegaskan tumpuannya kini mengatasi rekod Federer bagi 20 kejuaraan Grand Slams - rekod yang dikongsi bersama Rafael Nadal.

"Saya secara peribadi tidak begitu memberi perhatian lagi kepada ranking seperti mana saya beraksi untuk Grand Slams. Ia adalah antara kejohanan besar yang diberi tumpuan ketika ini di peringkat sekarang dalam karier saya.

"Saya berjaya melakar sejarah dalam ranking No.1, dan ia memberi tumpuan tinggi sejak kebelakangan ini. Sekarang ini ia mengenai cuba mempamerkan aksi terbaik di Grand Slams dan memastikan tercatat dalam karier saya."

Djokovic hanya beraksi dalam dua kejohanan selepas menang di Melbourne. Dia tewas kepada Dan Evans dalam kelompok 16 terakhir di Monte Carlo dan disingkirkan Aslan Karatsev pada separuh akhir di Belgrade.

Dia kini memburu kejuaraan kedua Roland Garros ketika cubaannya untuk menjadi pemain pertama menang empat Grand Slams berturut-turut sebanyak dua kali sejak Rod Laver melakukannya pada 1969.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 9:47 AM