NICODEMUS (kanan) berjaya muncul juara selepas berdepan pertarungan tiga penjuru. FOTO Ihsan Piala Dunia Powerlifting Para
NICODEMUS (kanan) berjaya muncul juara selepas berdepan pertarungan tiga penjuru. FOTO Ihsan Piala Dunia Powerlifting Para
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Atlet Powerlifting Para negara jelas sememangnya hebat apabila menuai emas ketiga buat Malaysia menerusi Nicodemus Manggoi Moses di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, Thailand, sebentar tadi.

Bagaikan langkah kanan, kejayaan terbabit sekali gus melonjak kedudukan Nicodemus ke tangga ke-12 dalam laluan ke kejohanan Paralimpik Tokyo.

Dalam perebutan pingat emas itu menyaksikan pertarungan tiga penjuru yang berakhir dengan kemenangan berpihak kepada atlet kelahiran Sarawak itu, berjaya mengetepikan dua pencabarnya, Ton Yarnpairat dari Thailand dan Salam Al Shakakee (Iraq) dalam kategori 88 kilogram (kg).

Angkatan seberat 190kg yang dilakukan Nicodemus menghadiahkan pingat emas buatnya dengan mengatasi Ton di tempat kedua dan Salam di tempat ketiga.

Terdahulu, kem Malaysia sebelum merangkul dua pingat emas di kejohanan berkenaan menerusi Bonnie Bunyau Gustin bagi kategori 72kg dan Bibiana Ahmad dalam kategori wanita 67kg.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mengucapkan tahniah kepada pasukan Powerlifting negara di atas kejayaan itu.

Jelasnya, pencapaian itu memberi petanda bahawa pasukan Paralimpik negara bakal melakukan kejutan besar di Sukan Paralimpik Tokyo nanti.

"Alhamdullilah dan tahniah diucapkan kepada Persatuan Powerlifting yang berjaya meraih pingat emas ketiga di kejohanan dunia itu.

"Kejayaan itu memberi isyarat bahawa skuad Paralimpik negara bakal menggemparkan negara dengan menyumbang lebih banyak pingat emas berbanding tiga emas di Rio pada edisi lalu," katanya, di sini.

Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Mohd Shamil Md Saad menyumbang gangsa dalam kategori lelaki 97kg.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 6:14 PM