NADAL (kanan) meraikan ulang tahun kelahiran Alcaraz. FOTO EPA
NADAL (kanan) meraikan ulang tahun kelahiran Alcaraz. FOTO EPA
AFP

Madrid: Rafael Nadal memulakan pemburuan gelaran keenam Terbuka Madrid apabila mudah menewaskan pemain muda Sepanyol, Carlos Alcaraz 6-1, 6-2 untuk melangkah ke pusingan 16 terakhir.

Nadal yang kembali menduduki ranking kedua dunia minggu lalu selepas mengatasi Stefanos Tsitsipas pada aksi final di Barcelona, nyata tidak memberi peluang kepada lawannya berusia 18 tahun itu.

Menduduki ranking ke-120 dunia, Alcaraz bagaimanapun tetap diraikan dengan nyanyian 'selamat hari jadi' dan kemudian menerima kek sempena ulang tahun kelahirannya.

"Kemenangan di Barcelona sangat membantu saya. Segala-galanya berjalan dengan baik," kata Nadal.

"Dia seorang pemain yang mempunyai potensi besar. Masih muda dan seorang yang baik. Dia sudah berada pada tahap terbaik dalam sukan ini tetapi saya percaya dia akan melakukan perkara lebih hebat pada masa depan.

"Saya doakan yang terbaik untuknya. Sebagai seorang pemain dan peminat tenis, saya percaya bahawa kita memerlukan seseorang sepertinya," tambah Nadal merujuk kepada Alcaraz.

Nadal akan bertemu Alexei Popyrin pada pusingan seterusnya selepas wakil Australia itu menewaskan bintang sedang meningkat naik, Jannik Sinner 7-6 (7/5), 6-2.

Tsitsipas, naib juara 2019, menewaskan Benoit Paire 6-1, 6-2 dalam tempoh kurang satu jam dengan lawannya dari Perancis itu berdepan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 2:00 PM