TSITSIPAS (baju merah) bersalaman dengan Karatsev selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
TSITSIPAS (baju merah) bersalaman dengan Karatsev selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Monaco: Stefanos Tsitsipas bermula langkah kanan selepas pemain nombor lima dunia itu menewaskan Aslan Karatsev 6-3, 6-4 dan mara ke peringkat 16 terakhir di Masters Monte Carlo, pagi tadi.

Pemain Greece, Tsitsipas yang mendapat bye di pusingan kedua hanya memerlukan satu jam 24 minit untuk menyingkirkan pemain Russia, Karatsev yang menduduki ranking ke-29.

Bintang muda berusia 22 tahun itu memanfaatkan 32 kesilapan Karatsev bagi menempah pertemuan dengan pemain Australia, John Millman atau pemain Chile, Cristian Garin.

Manakala Novak Djokovic akan menentang Jannik Sinner di pusingan kedua selepas pemain remaja sensasi Itali itu mengatasi cabaran pemain Sepanyol, Albert Ramos-Vinolas 6-3, 6-4.

Ranking Sinner melonjak ke tangga ke-22 dunia selepas mara ke final Terbuka Miami bulan lalu.

"Sudah tentu saya mempunyai pelan perlawanan," kata Sinner mengenai perlawanan pertamanya menentang Djokovic.

"Saya tahu reputasi dia. Ia pasti perlawanan yang sukar kerana saya tidak begitu mengenalinya. Saya banyak melihatnya di televisyen, menonton perlawanan tetapi apabila anda menentangnya dalam perlawanan, ia berbeza. Saya teruja dengan perlawanan kami nanti."

Semalam, Daniil Medvedev menarik diri daripada kejohanan selepas didapati positif Covid-19.

Pemain nombor dua itu diuji positif selepas berlatih bersama Rafael Nadal sehari sebelumnya.

Penganjur bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada pilihan ketiga Nadal kontak rapat Medvedev dan perlu menjalani kuarantin.

Nadal dijangka menentang Djokovic pada final dalam misi memburu trofi ke-12 di Monte Carlo, kejohanan pemanas badan utama menjelang Terbuka Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 11:23 AM