LOVE diberi penghormatan mengetuai skuad AS dalam saingan Piala Presiden akan datang. FOTO AFP
LOVE diberi penghormatan mengetuai skuad AS dalam saingan Piala Presiden akan datang. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Davis Love III sekali lagi akan mengetuai skuad Amerika Syarikat (AS) bagi saingan Piala Presiden selepas ia disahkan oleh Jelajah PGA dan penganjur kejohanan dalam satu kenyataan.

Dia yang pernah mengetuai AS sebanyak dua kali dalam saingan Piala Ryder, meraih kejuaraan Jelajah PGA sebanyak 21 kali dan berada dalam senarai Dewan Kemasyhuran Golf Dunia.

AS akan berdepan pasukan antarabangsa yang diketuai oleh pemain Afrika Selatan, Trevor Immelman.

Saingan 2022 akan berlangsung di Quail Hollow Club di Charlotte, North Carolina dari 19 hingga 25 September.

AS adalah penyandang juara selepas memenangi saingan paling terkini iaitu pada 2019.

"Ia satu penghormatan dilantik menjadi ketua pasukan AS bagi saingan Piala Presiden 2022.

"Sejarah saya dalam kejohanan ini bermula sejak 1994 mengimbau kenangan persaingan, persahabatan dan semangat kesukanan. Saya rasa gembira dapat memimpin pemain terbaik AS di Quail Hollow Club September depan," katanya.

Love mewakili AS sebanyak enam kali dalam kariernya, termasuk ketika kejohanan sulung pada 1994, di mana mereka berjaya mencatat kemenangan 20-12.

Dia juga menjadi pembantu ketua pasukan pada 2013, 2015 dan 2017 dalam saingan Piala Presiden serta mengetuai AS di Piala Ryder pada 2012 serta 2016 berdepan pasukan Eropah.

Love adalah ketua pasukan kesembilan pasukan AS untuk saingan Piala Presiden, mengikut jejak Tiger Woods (2019), Steve Stricker (2017), Jay Haas (2015), Fred Couples (2013, 2011, 2009), Jack Nicklaus (2007, 2005, 2003, 1998), Ken Venturi (2000), Arnold Palmer (1996) dan Hale Irwin (1994).

Piala Presiden sepatutnya berlangsung tahun ini namun terpaksa ditukarkan pada 2022 selepas pandemik Covid-19 memaksa saingan Piala Ryder 2020, diadakan pada 24 hingga 26 September ini di Whistling Straits, Wisconsin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 1:29 PM