KHABIB (kiri) ketika bertemu McGregor pada 2018. FOTO Agensi
KHABIB (kiri) ketika bertemu McGregor pada 2018. FOTO Agensi
Agensi

Abu Dhabi: Khabib Nurmagomedov akan keluar daripada persaraan jika salah seorang petarung dalam kategori lightweight yang beraksi di UFC 257 berjaya menarik perhatiannya.

Juara bertahan lightweight itu bersara daripada sukan seni bela diri campuran itu Oktober tahun lalu selepas menewaskan Justin Gaethje di UFC 254.

Bagaimanapun kurang tiga bulan selepas mengumumkan persaraan, bintang Russia itu dilihat mahu kembali ke oktagon.

Bos UFC, Dana White mendedahkan perbualan terbaharunya bersama Khabib yang berkata kepadanya: "Saya akan menyaksikan dua perlawanan lightweight di UFC 257.

"Jika mereka ini melakukan sesuatu yang hebat dan membuatkan saya mahu kembali semula, maka saya akan bertarung semula."

UFC 257 akan berlangsung di Etihad Arena di Abu Dhabi 24 Januari ini.

Perlawanan tumpuan adalah membabitkan pertembungan ulangan Dustin Poirier dan Conor McGregor dalam kategori lightweight.

Satu lagi perlawanan menerusi kategori itu adalah membabitkan Dan Hooker bertemu Michael Chandler.

White yakin dapat memujuk bintang Dagestan itu untuk beraksi semula apabila memberitahu ESPN: "Saya berjumpa dengannya kerana saya berasakan dia perlu beraksi semula.

"Lihat apa yang dilakukannya kepada Justin Gaethje pada Oktober tahun lalu. Lihat juga apa yang sudah dilakukannya kepada setiap lawan yang ditemuinya sebelum ini.

"Saya rasa dia patut beraksi semula dan saya akan cuba memberi tekanan kepadanya untuk beraksi satu lagi perlawanan terakhir."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 10:47 AM