Whyte (kiri) dan Povetkin bakal bertarung pada 6 Mac.
Whyte (kiri) dan Povetkin bakal bertarung pada 6 Mac.
Agensi

London: Petinju, Britain, Dillian Whyte berpeluang membalas dendam menentang Alexander Povetkin ketika Matchroom Boxing mengesahkan pertarungan kembali mereka pada 6 Mac ini.

Povetkin, 41, dari Russia, mempamerkan aksi bertenaga ketika mencatat kemenangan dalam pusingan kelima pertarungan kejuaraan interim WBC pada Ogos lalu.

Whyte, 32, sepatutnya berdepan Povetkin buat kali kedua pada penghujung November tahun lalu di Wembley Arena.

Bagaimanapun, pertarungan itu ditangguhkan selepas petinju veteran Russia berkenaan diuji positif Covid-19.

"Ini adalah pertarungan penting dalam karier saya - pertarungan mengenai kehidupan saya," kata Whyte.

"Saya sudah bersedia untuk bertarung pada November. Saya boleh menerima kekalahan dan kekecewaan. Saya mampu menyesuaikan diri. Pada saya ia hanya kekalahan, tetapi saya melakukan banyak perkara yang baik.

"Ia adalah pertarungan yang bagus [pada Ogos]. Saya fikir kembali mengenainya, saya sepatutnya menumbangkannya lebih awal. Saya membiarkan dia kembali menemui rentak."

Povetkin berkata dia berasa semakin baik selepas pulih daripada Covid-19 dan dia mahu bertarung sekali lagi di perlawanan kejuaraan dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 12:13 PM