FURY (kanan) tidak berminat sertai pasukan Joshua sebaliknya mahu menghancurkan muka rakan senegaranya itu. FOTO Agensi
FURY (kanan) tidak berminat sertai pasukan Joshua sebaliknya mahu menghancurkan muka rakan senegaranya itu. FOTO Agensi
AFP

London: Tyson Fury menyelar semula Anthony Joshua dan memberi amaran dia 'hanya berminat untuk menghancurkan muka lawannya itu' selepas dipelawa untuk menyertai pasukan rakan senegaranya yang juga juara heavyweight.

Permusuhan antara kedua-dua pasangan berkenaan kembali hangat apabila penyandang tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) itu memberi reaksi berkenaan temubual Joshua dengan media.

Dalam temubual berkenaan, juara Olimpik 2012 itu mencadangkan Fury sepatut menyertainya di Eddie Hearn's Matchroom dan bergerak bersama rangkaian kumpulan pengurusannya jika mahu menjadi seorang bintang.

"Saya rasa dia (Fury) harus datang ke Matchroom bersama pengurusan 258 dan biar kami yang menguruskan kariernya.

"Dia adalah seorang bintang, bintang dalam pembikinan bersama pengurusan yang betul. Dia pasti akan berjaya," kata Joshua.

Bagaimanapun, Fury, 32, membalasnya melalui Twitter dalam situasi yang sangat kasar.

"@anthonyfjoshua pernahkah anda mengetahui bahawa saya tidak berminat menjadi bintang atau terkenal.

"Saya seorang pejuang dan hanya berminat untuk menghancurkan muka anda, anda jadilah bintang, saya mahu jadi diri sendiri. Tungga saya datang wahai sang bintang," kata Fury.

Dalam perjanjian secara prinsipnya Fury akan menentang Joshua sebanyak dua kali pada 2021, selepas dia berdepan Kubrat Pulev untuk kejuaraan dunia di Wembley Sabtu ini.

Joshua, 31, yang belum lagi turun gelanggang sejak dia mengalahkan Andy Ruiz Jr Disember tahun lalu, sepatut berdepan Pulev awal tahun ini sebelum ia ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 10:28 AM