Jannik Sinner dari Itali (kanan) dan Vasek Pospisil dari Kanada (kiri) bersama trofi masing-masing. FOTO Agensi
Jannik Sinner dari Itali (kanan) dan Vasek Pospisil dari Kanada (kiri) bersama trofi masing-masing. FOTO Agensi
AFP

Sofia: Pemain remaja, Jannik Sinner menjadi juara termuda ATP dalam tempoh 12 tahun apabila menumpaskan pemain Kanada, Vasek Pospisil pada aksi final Kejohanan Tenis ATP Terbuka Sofia di Bulgaria.

Pemain berusia 19 tahun dan berada di ranking 44 dunia itu, memastikan kemenangan 6-4, 3-6, 7-6 (7/3) ke atas Pospisil, yang juga kemenangan ke-19 musim ini.

Sinner, pemain termuda Itali menjuarai gelaran ATP pada era moden, bertahan 14 ace dan memenangi 75 peratus daripada mata servis pukulan pertama (45/60) untuk menjadi pemain termuda melakar kejuaraan Jelajah ATP sejak Kei Nishikori, 18 tahun, memenanginya di Terbuka Delray Beach 2008.

"Ia memang selalu istimewa apabila anda memenangi kejohanan," kata Sinner.

"Saya rasa baik minggu ini. Ia sungguh istimewa. Beraksi final seperti ini, 7-6 di set ketiga... ia sentiasa sukar. Tetapi bila anda menang, ia adalah kemenangan yang lebih bermakna daripada menang 6-1, 6-1.

"Saya gembira dengan perlawanan ini, bagaimana saya berusaha pada setiap mata dan saya fikir ia adalah minggu yang sangat istimewa bagi saya."

Sinner juga pemain keenam yang menjulang kejuaraan peringkat jelajah pertama kali tahun ini dengan menyertai Ugo Humbert, Casper Ruud, Miomir Kecmanovic, Thiago Seyboth Wild dan John Millman.

Dia juga menang kejuaraan NextGen di Milan, dalam tempoh sama tahun lalu.

"Ia perasaan yang bagus untuk menang kejuaraan pertama seperti tahun lalu dalam minggu yang sama. Ia sangat baik," katanya.

"Saya rasa sangat baik secara keseluruhan dalam minggu ini. Sangat indah beraksi di sini. Penonton menakjubkan dan ia adalah pencapaian yang baik."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 9:52 AM