UNDERTAKER bakal membuat penampilan kali terakhir di Survivor Series pada 22 November ini. FOTO Agensi
UNDERTAKER bakal membuat penampilan kali terakhir di Survivor Series pada 22 November ini. FOTO Agensi
Agensi

New York: Penyokong berpeluang mengucapkan salam perpisahan kepada The Undertaker yang akan membuat penampilan terakhir sepanjang kariernya di Survivor Series.

The Phenom melakukan penampilan kali pertama 30 tahun lalu dan bakal mengucapkan selamat tinggal selama-lamanya selepas ini.

WWE dalam satu kenyataan berkata, Undertaker akan melakukan penampilan terakhir sebagai menghargai karier gemilangnya.

"Penampilan terakhir Undertaker akan berlangsung di Survivor Series pada Ahad, 22 November yang akan disiarkan di seluruh dunia di saluran WWE. Menutup karier legenda The Phenom selama 30 tahun.

"Salah seorang ikon dalam sejarah WWE dan mencetuskan fenomena. Undertaker melakukan penampilan pertama di Survivor Series pada 22 November 1990," kata kenyataan itu.

Khabar angin berhubung persaraannya mula timbul selepas penggusti berusia 55 tahun itu melakukan penampilan dalam dokumentari 'The Last Ride'.

Dalam episod final, Undertaker mengumumkan persaraannya tetapi penyokong berharap dia dapat melakukan penampilan buat kali terakhir.

Sesetengah laporan mendakwa Undertaker akan membuat penampilan di Wrestlemania 37 untuk pertemuan dengan John Cena.

Undertaker melalui karier gemilang di WWE apabila tidak pernah tewas sepanjang 21 tahun di Wrestlemania, di beberapa saingan WWE dan pertembungan bersama lawan seperti Triple H, Shawn Michaels dan Hulk Hogan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 1:19 PM