Rory McIlroy berpeluang buru gelaran. FOTO AFP
Rory McIlroy berpeluang buru gelaran. FOTO AFP
Agensi

Ireland: Rory McIlroy berkata mengurangkan kesilapan dalam permainannya menjadi fokus utama buatnya dalam usaha melakukan persiapan menjelang Kejohanan Masters, bulan depan.

Pemain Ireland Utara itu, melakar pencapaian terbaik dengan 29 birdie daripada 72 lubang di Kejuaraan Zozo hujung minggu lalu, tetapi melakukan lapan bogey dan tiga bogey berturut-turut untuk menamatkan saingan di tempat ke-17.

McIlroy bagaimanapun ketinggalan agak jauh dalam kelompok pendahulu dengan pemain Amerika, Patrick Cantlay menjuarai saingan itu.

Mcllroy yang juga pemain nombor lima dunia berharap menjadi antara enam pemain tunggal memenangi semua empat kejohanan major dengan kejayaan di Augusta dari 12-15 November ini.

"Hanya kurang melakukan kesilapan lebih dari segalanya," katanya.

"Saya tidak memikirkan apa-apa membabitkan aspek teknikal, tetapi ya, sebaiknya saya harus memperbaiki kesilapan yang dilakukan minggu ini dan begitu juga minggu lalu.

"Saya menempuhi permainan yang teruk di sana pada penghujung kejohanan apabila saya berada dalam kelompok 10 teratas sebelum tersasar dalam kelompok 20 teratas.

"Jadi ya, secara asasnya adalah itu, apabila saya mengambil kedudukan. Saya akan cuba melakukan permainan yang hampir sempurna."

McIlroy, 31, belum memenangi kejohanan major sejak Kejuaraan PGA 2014 tetapi kekal konsisten antara pemain pilihan dalam kejohanan besar setiap tahun.

Aksi mengagumkan awal tahun ini menyaksikan dia merampas kedudukan pemain nombor satu dunia selepas komited beraksi dalam kejohanan permulaan musim 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 2:26 PM