HASNIZAM (tengah) pada sidang media hari ini.
HASNIZAM (tengah) pada sidang media hari ini.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meneruskan kejohanan Liga Hoki 5s Malaysia 2024 dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat menerusi sukan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hoki 5s, Hasnizam Hassan berkata, pihaknya melakukan sedikit perubahan untuk kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu dengan meletakkan syarat bahawa setiap pasukan wajib mempunyai pemain bawah 23 tahun (B-23).

Selain itu, kejohanan yang akan berlangsung bulan hadapan itu juga sebagai medan terbaik untuk MHC memilih pemain kebangsaan bagi di bawa ke Rusia dan Thailand nanti.

"Tahun ini ada sedikit perbezaan iaitu setiap pasukan mesti kena ada pemain Bawah 23 tahun iaitu seramai tiga orang. Kita ada matlamat iaitu ingin membina pasukan untuk siri Piala Dunia akan datang pada 2028.

"Maka kita kena cari pemain ini lebih awal untuk bentuk pasukan yang kuat. Jadi pemain muda ini akan menjadi tonggak pada masa akan datang nanti.

"Selain itu, kita juga akan memberi fokus kepada dua kejohanan jemputan, yang pertama kita telah menerima jemputan daripada Rusia untuk kategori lelaki dan wanita yang akan diadakan pada 15 hingga 20 Ogos ini.

"Pada November, kita terima satu lagi jemputan daripada Thailand yang akan diadakan di Bangkok pada 25 hingga 30 November ini," katanya dalam Sidang Media Pengerusi Jawatankuasa Hoki 5s di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Selain itu, Hasnizam juga melihat kejohanan hoki 5s semakin mendapat sambutan apabila jumlah penyertaan pasukan kali ini lebih baik dari tahun sebelumnya.

"Kita lihat penyertaan tahun ini ada peningkatan. Jika tahun lalu ada 11 pasukan lelaki dan 7 wanita tetapi tahun ini kita dapat 15 penyertaan untuk pasukan lelaki dan 12 pasukan bagi wanita," katanya.

Kejohanan itu akan diadakan pada 16 hingga 22 Julai depan dan setiap kategori di bahagian kepada dua kumpulan.

Setiap pasukan juga diberikan kebebasan untuk menurunkan pemain kebangsaan sekiranya tidak bertembung dengan kejohanan antarabangsa dan ia bertujuan untuk meningkatkan lagi persaingan kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 4:15 PM