SUBAHAN turut memuji kegigihan skuad hoki 5s wanita meskipun mereka sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam. FOTO Bernama
SUBAHAN turut memuji kegigihan skuad hoki 5s wanita meskipun mereka sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berharap pasukan hoki yang lain mencontohi skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara selepas berjaya melakar kejayaan cemerlang sebagai naib juara Piala Dunia di Muscat, Oman Januari lalu.

Jelasnya, pujian harus diberikan kerana ia sejarah bagi sukan hoki negara di adalah Piala Dunia sulung buat hoki 5s.

"Kerja keras serta usaha anda selama ini berjaya menaikkan status Malaysia sebagai negara sukan yang meningkat naik. Kejayaan menjadi naib juara boleh menjadi contoh terbaik buat pasukan-pasukan hoki kebangsaan yang lain.

"Kejayaan ini juga adalah hasil kerja keras pengerusi jawatankuasa hoki 5s, Hasnizam Hassan yang meyakinkan MHC bahawa acara ini boleh membuahkan hasil dan ia sudah terbukti," katanya.

Terdahulu, ketika aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Oman, Malaysia tewas 2-5 kepada Belanda.

Namun kelukaan pasukan Malaysia terubat apabila ketua pasukan hoki 5s, Akhimullah Anuar Esook dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Sementara itu, Subahan turut memuji kegigihan skuad hoki 5s wanita meskipun mereka sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas tewas 4-8 kepada Uruguay dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam.

"Kepada pasukan wanita, satu pencapaian yang baik menamatkan saingan di kedudukan keenam dan kami tabik kepada anda. Bukan sesuatu yang mudah berdepan lawan sukar, namun anda semua sudah memberikan segala-galanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 8:56 PM