RAJAN memberikan arahan kepada pemainnya ketika menentang wakil China.
RAJAN memberikan arahan kepada pemainnya ketika menentang wakil China.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas mencatat kekalahan pertama kepada Liaoning Hockey Team dari China, skuad hoki wanita Negeri Sembilan berazam bangkit meraih kemenangan dalam pertembungan dengan CS Mustang HT pada kejuaraan Liga Hoki Malaysia TNB-MHL 2024, di Stadium Hoki Bukit Jalil, petang esok.

Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), Tamil Selvan menegaskan anak buah K Rajan perlu memperkemaskan persembahan bagi memastikan kemenangan dapat diraih dalam perlawanan ketujuh itu.

Menurutnya, pemain tidak boleh meratapi kekalahan kepada Liaoning sebaliknya perlu dilupakan segera bagi memberikan tumpuan kepada cabaran berikutnya menentang CS Mustang di Bukit Jalil petang esok.

"Perlawanan itu penting bagi Negeri Sembilan kerana ia sebahagian tiga aksi terakhir liga yang akan menentukan sejauh mana sasaran pasukan dapat dicapai musim ini.

"Justeru, pemain yang akan beraksi nanti perlu memberikan komitmen 100 peratus untuk membantu pasukan mendapatkan kemenangan.

"Peluang Negeri Sembilan untuk mempertahankan kejuaraan liga masih belum tertutup namun perlu menang kesemua baki tiga perlawanan akan datang," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, kapten pasukan, Fazillah Sylvester Silin berjanji untuk memberikan persembahan terbaik dalam aksi petang esok.

"Saya bersama rakan-rakan sudah bersedia untuk turun dengan persembahan terbaik dan kami akan memberikan tentangan habis-habisan kerana mahukan kemenangan dalam perlawanan esok," kata pemain kebangsaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 9:31 PM