PERTEMBUNGAN Argentina menentang Belanda untuk perlawanan klasifikasi 5 hingga 8. -FOTO MHC
PERTEMBUNGAN Argentina menentang Belanda untuk perlawanan klasifikasi 5 hingga 8. -FOTO MHC
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Status Argentina selaku juara bertahan tercalar lagi selepas tewas tipis 0-1 kepada Belanda pada perlawanan klasifikasi 5 hingga 8 di Piala Dunia Remaja, hari ini.

Kekalahan itu pastinya cukup perit untuk Argentina yang sebelum ini terlepas peluang mara ke separuh akhir apabila tumpas 1-2 kepada Jerman pada aksi suku akhir sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka pada 2021 dekat Bhubaneswar, India.

Ketua jurulatih Belanda, Jess Mahieu mengakui puas dapat menewaskan Argentina meskipun barisan pemainnya tidak beraksi pada tahap terbaik.

"Pemain masih merasai kekecewaan tewas di suku akhir (kepada India) tapi mereka menunjukkan kebangkitan semula hari ini.

"Kami menang dengan bukan corak permainan sebenar Belanda kerana pemain beraksi agak teruk dan tidak banyak mencipta peluang. Tapi kadangkala anda perlu menang dengan cara seperti ini," katanya pada sidang media.

Aksi separuh masa pertama perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan kedua-dua pasukan cuba untuk di depan tetapi tiada sebarang gol dapat dijaringkan.

Bersambung separuh masa kedua, Dylan Lucieer akhirnya memecah kebuntuan untuk Belanda apabila menjaringkan gol tunggal menerusi jaringan padang minit ke-36.

Tersentak dengan jaringan itu, Argentina meningkatkan rentak permainan mereka untuk mencari gol penyamaan tetapi mereka dilihat beraksi di bawah tekanan sekali gus gagal mendapatkan gol penyamaan.

Suku keempat menyaksikan Argentina terus menggandakan asakan dan mengambil risiko mengeluarkan penjaga gol mereka, Joaquin Ruiz pada empat minit terakhir untuk beraksi secara 'power play' bagi mendapatkan gol penyamaan namun usaha mereka itu gagal membuahkan hasil.

Dengan kekalahan itu, Argentina akan bertemu Pakistan pada penentuan tempat ke-7/8, Sabtu ini selepas lawan mereka itu tewas 5-7 di tangan Australia dalam satu lagi perlawanan klasifikasi 5 hingga 8.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 1:47 PM