AKSI perlawanan Malaysia berdepan Mesir. -FOTO Aizuddin Saad
AKSI perlawanan Malaysia berdepan Mesir. -FOTO Aizuddin Saad
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Young Tigers, Muhamad Amin Rahim berharap pemainnya dapat menggunakan setiap peluang yang diberikan melalui pukulan sudut penalti untuk menjaringkan gol.

Perkara itu perlu ditekankan jika tidak mahu dikecewakan apabila berdepan Belgium dalam klasifikasi sembilan hingga 12 di Piala Dunia Remaja, esok.

Jelas Amin, sewaktu lawan Mesir, pasukan negara diberikan ruang yang banyak untuk cipta peluang namun jika berjumpa pasukan yang terkuat belum tentu akan diberikan kesempatan yang sama.

"Kita mungkin tak akan dapat peluang yang sama seperti apa yang kita peroleh ketika bertemu Belgium nanti memandangkan pasukan itu mempunyai kelebihan fizikal berbanding skuad negara.

"Untuk perlawanan esok kita kena bersedia dari segi fizikal sebab saiz mereka lagi besar dari segi kemahiran kita lagi baik dari mereka (Belgium)," katanya.

Tambah Amin, pemain harus mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan agar perkara yang sama tidak berulang lagi.

Untuk rekod, kali terakhir Young Tigers bertemu Belgium adalah pada perlawanan peringkat kumpulan di Piala Dunia Remaja 2021 di India dengan berkesudahan seri 1-1.

Selepas sasaran awal ke suku akhir gagal, skuad kendalian Amin beralih arah untuk memburu tempat kesembilan terbaik namun perlu berhadapan satu lagi lawan yang sukar.

Terdahulu, Malaysia menewaskan Mesir 4-1 sementara Belgium berpesta jaringan 12-0 ke atas Kanada dalam perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga 16 semalam (kelmarin).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 2:10 PM