PEMAIN Belgium meraikan gol selepas membelasah Kanada 12-0. -FOTO FIH
PEMAIN Belgium meraikan gol selepas membelasah Kanada 12-0. -FOTO FIH
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih hoki remaja Belgium, Jeroen Baart mahu menjadikan Malaysia mangsa seterusnya dalam perlawanan klasifikasi sembilan hingga 12 di Piala Dunia Remaja esok.

Jelasnya, kekecewaan tetap menghantui pemain kerana gagal ke suku akhir tetapi mereka perlu bangkit memastikan kemenangan terus memihak kepada pasukannya serta tampil dengan corak permainan yang sama seperti sebelum ini.

"Kami masih kecewa sehingga hari ini selepas tewas kepada Pakistan. Saat duka ini adalah amat perit bagi kami dan ia akan kekal untuk satu tempoh yang lama.

"Fokus kami selepas ini adalah bertemu Malaysia esok. Kami mahu menang dan ini adalah antara prinsip dalam permainan. Matlamat kami masih sama mengejar posisi tempat kesembilan dan menamatkan cabaran di tempat teratas," katanya.

Untuk rekod, pada edisi Piala Dunia Remaja 2021 di India, mereka berjaya ke suku akhir sebelum tewas kepada tuan rumah 0-1 dan menamatkan saingan di tempat ketujuh secara keseluruhan.

Belgium yang berada dalam Kumpulan D perlu mencatat kemenangan pada aksi terakhir tetapi dikecewakan oleh Pakistan dengan keputusan seri 1-1 sekali gus menghantar mereka ke perlawanan klasifikasi sembilan hingga 16.

Terdahulu anak buah Jeroen melepaskan geram dengan membelasah Kanada 12-0 serta akan meneruskan perjuangan untuk tempat sembilan hingga 12 dan akan bertemu skuad kendalian Mohamad Amin Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 2:06 PM