AKSI antara Young Tigers dan Mesir hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
AKSI antara Young Tigers dan Mesir hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Sikap terlalu yakin untuk menang ke atas Mesir dalam aksi klasifikasi sembilan hingga 16 menyebabkan pemain remaja negara mengambil sikap sambil lewa dalam perlawanan Piala Dunia Remaja apabila sekadar peroleh tiga jaringan daripada 16 pukulan sudut penalti.

Ketua jurulatih remaja negara, Muhamad Amin Rahim berkata, beliau mengakui pemainnya beraksi di bawah keupayaan sebenar sehingga melepaskan deretan peluang yang terhidang sepanjang perlawanan itu.

Jesteru, beliau berharap mentaliti para pemain dapat diubah segera sebelum turun dalam perlawanan seterusnya.

"Saya gembira dengan kemenangan ini tetapi ada banyak kesilapan mudah di bahagian pertahanan dan serangan. Kita dapat 16 pukulan sudut penalti dan hanya dapat menjaringkan tiga gol sahaja.

"Ini sangat teruk, perkara ini perlu dibaiki dan dibetulkan secepat mungkin kerana lawan diperingkat seterusnya berkemungkinan akan membawa kesukaran kepada kita.

"Bagi saya, semua pemain tidak beraksi dengan baik ketika berdepan Mesir dan saya berharap mereka bangun dan baiki kelemahan yang ada. Bukan hanya nama besar tetapi semua pemain," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Tambah Amin lagi, ada kemungkinan pemain gagal mengawal perasaan bila berada di dalam situasi tekanan sehingga melakukan kesilapan tidak sepatutnya.

Empat gol Malaysia hadir menerusi Osman Harris menerusi gol padang pada minit kelapan, Faris Harizan (m-16) Muhammad Danish Aiman (m-44) dan Che Nur Aqilrullah (m-50).

Manakala skuad bimbingan Moustafa Khalil peroleh gol sagu hati menerusi Basel Abdelmonen pada minit ke-59 melalui gol padang.

Skuad Young Tigers akan turun semula pada Rabu ini dan akan berhadapan satu lagi lawan sukar iaitu Belgium dalam klasifikasi sembilan hingga 12.

Terdahulu, Belgium tiada masalah untuk menghantar Kanada ke penentuan klasifikasi 13 hingga 16 selepas berpesta jaringan 12-0.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 3:16 PM