SKUAD negara akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi kesembilan sehingga 16 bertemu Mesir esok. FOTO GENES GULITAH
SKUAD negara akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi kesembilan sehingga 16 bertemu Mesir esok. FOTO GENES GULITAH
Amirul Fazli Zulkfafli


Kuala Lumpur: Malaysia dilihat mempunyai kelebihan untuk mengatasi Mesir dalam perlawanan klasifikasi sembilan sehingga 16 dan harus menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk menutup kekecewan gagal mara ke suku akhir Piala Dunia Remaja.

Bekas pemain negara, Maninderjit Singh berkata, daripada rekod pertemuan sebelum ini serta pendedahan di peringkat antarabangsa, Young Tigers mempunyai peluang cerah untuk mencatat kemenangan.

Jelas Maninderjit, daripada pemerhatian dirinya mendapati terdapat beberapa elemen yang perlu ketua jurulatih remaja negara, Muhamad Amin Rahim memberi penekanan sekiranya ingin mendapatkan keputusan positif esok.

Jelasnya, melihat statistik pasukan Malaysia di peringkat kumpulan A, pemain negara harus memperkemaskan beberapa bahagian dan lakukan empat elemen berkenaan sebelum bertemu Mesir.

"Pertama, penjaga gol utama, Rafaizul Mohamad Saini harus beraksi dengan baik. Kalau kita lihat dua perlawanan ketika menentang Argentina dan Australia, dia melepaskan dua atau tiga gol mudah dalam dua perlawanan itu dan perkara itu tidak boleh berlaku lagi.

"Kedua harus memanfaatkan dalam bentuk jaringan setiap peluang dari pukulan sudut penalti yang diberikan. Nisbah pukulan sudut penalti dalam kejohanan ini (Piala Dunia Remaja) tidak begitu memuaskan kerana kita hanya berjaya (menjaringkan gol) ketika menentang Chile dan ketika menentang Argentina serta Australia, kita dapat peluang itu tetapi tiada jaringan dilakukan.

"Ketiga, pemain harus meningkatkam prestasi dari segi bertahan ketika pukulan sudut penalti. Malaysia harus berikan perhatian kepada beberapa pemain senior mereka terutama dua pemain iaitu Hossameldin Ragab (ketua pasukan) dan Said Kamal yang berada dalam skuad senior dan dalam projek ke Olimpik Paris 2024.

"Terakhir pemain perlu konsisten dalam setiap suku dan tidak boleh membiarkan pasukan kita ketinggalan. Kita selalu mengejar perlawanan terutama ketika menentang Argentina dan Australia, bila kita selalu kena dua tiga gol, baru nak mempersembahan permainan yang baik dan saya lihat juga segi taktikal menyerang harus diperkemaskan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Malah dirinya amat yakin jika elemen berkenaan berjaya diaplikasikan oleh pasukan negara, Young Tigers mampu mencatat kemenangan dengan jaringan besar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 4:14 PM