AMIN tetap yakin dengan keupayaan para pemain meskipun menerima kritikan. FOTO GENES GULITAH
AMIN tetap yakin dengan keupayaan para pemain meskipun menerima kritikan. FOTO GENES GULITAH
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih remaja lelaki negara, Muhamad Amin Rahim menegaskan perlawanan menentang Mesir esok adalah misi wajib menang untuk memastikan Malaysia menamatkan saingan Piala Dunia Remaja di tangga kesembilan dari 16 pasukan.

Jelas Amin, ini adalah peluang kedua bagi berada di kedudukan terbaik selepas sasaran awal ke suku akhir tidak tercapai dan beliau menuntut pemain untuk bangkit serta tampilkan persembahan seperti perlawanan menentang Chile dengan permainan tersusun dan semangat hendak menang itu begitu tinggi.

"Saya arah setiap pemain bangkit mengulangi persembahan terpuji ketika menewaskan Chile (7-1) dalam perlawanan pertama.

"Sebelum perlawanan itu, ikrar pasukan adalah untuk menewaskan Chile dengan apa cara sekalipun. Janji dapat tiga mata.

"Kami berjaya melunaskan janji itu. Jadi, pertemuan dengan Mesir tiada bezanya. Kami akan tetap fokus untuk menang esok dan layak ke halangan berikut dalam klasifikasi (9-16)," katanya.

Tambahnya, beliau tetap yakin dengan keupayaan para pemain meskipun anak buahnya menerima kritikan selepas menampilkan persembahan kurang meyakinkan ketika menentang Argentina dan Australia.

Jelasnya lagi, penjaga gol utama, Mohamad Rafaizul Mohamad Saini akan terus diberi mandat menjaga gawang dalam kesebelasan utama kerana pihak pengurusan masih menaruh kepercayaan ke atasnya.

"Jika ini berhasil (menang ke atas Mesir) keyakinan pemain muda kita akan meningkat semula untuk menghadapi halangan berikut dengan minda tenang dan lebih yakin.

"Sekarang mereka (pemain) adalah watak utama untuk menjayakan misi. Saya sebagai jurulatih masih percaya anak buah saya ada potensi untuk menewaskan mana-mana pasukan," katanya.

Terdahulu, sasaran awal untuk Young Tigers melangkah ke suku akhir bermula dengan baik apabila menang ke atas Chile dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan A.

Namun begitu, harapan itu berkecai selepas tewas dua perlawanan terakhir kepada Argentina (0-4), dan Australia (2-5) sekali gus berpuas hati di tangga ketiga dan akan bersaing dalam klasifikasi 9 hingga 16.

Untuk rekod, pada edisi Piala Dunia Remaja 2021 di India, Malaysia berjaya melangkah ke suku akhir sebelum tewas 0-4 kepada Perancis dan menamatkan saingan di tempat kelapan secara keseluruhan.

Pencapaian terbaik Malaysia di Piala Dunia Remaja adalah di tangga keempat yang dilakukan pada tahun 1979, 1982 dan 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 1:24 PM