PENJAGA gol pasukan Malaysia, Mohamad Rafaizul kelihatan sugul selepas tewas kepada pasukan Australia semalam. FOTO Bernama
PENJAGA gol pasukan Malaysia, Mohamad Rafaizul kelihatan sugul selepas tewas kepada pasukan Australia semalam. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih remaja lelaki negara, Muhamad Amin Rahim menyeru anak buahnya untuk terus bangkit dan lupakan segera kesedihan selepas gagal layak ke suku akhir Piala Dunia Remaja.

Jelas Amin, beliau tahu pemainnya ketika ini berada dalam keadaan kurang motivasi selepas alami dua kekalahan berturut-turut tetapi skuad muda negara berpeluang untuk menamatkan perjuangan di kedudukan kesembilan dalam kejohanan itu.

Justeru, beliau menyatakan Young Tigers perlu menebus kekecewaan dan memberi tumpuan pada perlawanan seterusnya bertemu Mesir dalam peringkat klasifikasi 9-16 yang akan berlangsung Isnin ini.

"Bila kita tak layak ke suku akhir, kita perlu buang dan terus fokus mempersiapkan mental untuk habiskan kejohanan ini, tiada siapa boleh rehat dan cuti, masih ada misi perlu habiskan, boleh nampak mereka agak kecewa tapi masih ada peluang untuk kita habiskan dengan kedudukan tinggi dalam Piala Dunia Remaja ini.

"Sebagai pasukan kena ambil bertanggungjawab dan galas kekalahan. Ini kejohanan dunia pemain kena sedar dan inilah cabarannya, saya tak nak salahkan siapa-siapa, kita ambil kekalahan ini dengan hati terbuka," katanya.

Tambah Amin, berbaki dua hari sebelum turun menentang Mesir, beliau akan lakukan segala persiapan agar skuad bimbingannya akan berikan yang terbaik termasuk mencari jaringan awal dan tidak melakukan kesilapan seperti sebelum ini.

"Untuk kita menang, kita memang perlu jaringkan gol pada awal perlawanan untuk kawal permainan, kita ada dua hari rehat untuk digunakan, selain kaji semula perlawanan Mesir sebelum ini," katanya.

Jelasnya lagi, beliau mengingatkan para pemain agar tidak mengambil mudah terhadap pasukan lawan meskipun Mesir berada di kedudukan ke-16 dunia tetapi pemain mereka mempunyai kelebihan dari segi fizikal berbanding skuad negara.

Semalam Arena Metro melaporkan pasukan hasrat Young Tigers untuk sekurang-kurangnya memburu tiket ke suku akhir Piala Dunia Remaja terkubur selepas tewas 2-5 di tangan Australia pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A.

Dua kekalahan kepada Argentina dan Australia menyaksikan skuad negara hanya menduduki tangga ketiga dengan mengumpul tiga mata daripada tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 1:39 PM