AKSI perlawanan antara Malaysia menentang Argentina. -FOTO Aizuddin Saad
AKSI perlawanan antara Malaysia menentang Argentina. -FOTO Aizuddin Saad
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Gagal memanfaatkan peluang terutamanya menerusi pukulan sudut penalti yang menjadi senjata utama Malaysia menyebabkan skuad hoki remaja negara tumbang 0-4 di tangan juara bertahan, Argentina pada aksi kedua Kumpulan A, Piala Dunia Remaja, semalam.

Ketua jurulatih skuad negara, Muhamad Amin Rahim berkata, anak buahnya sebenarnya mampu menyaingi Argentina namun perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan itu adalah Argentina memanfaatkan peluang diperolehi mereka dengan sebaik-baiknya.

"Kita tahu Argentina adalah juara bertahan dan saya rasa kalau kita tengok pada separuh masa pertama, boleh nampak kita mampu menyaingi mereka. Tapi beza pasukan kita dengan Argentina adalah mereka boleh bermain secara konsisten untuk 60 minit.

"Pada separuh masa kedua pula, ada pemain negara mengalami kecederaan dan kekejangan. Pemain harus tahu bahawa bila beraksi di pentas antarabangsa, tahap kecergasan tinggi amat diperlukan.

"Nak cakap Argentina bagus, pasukan kita juga ada peluang untuk mencipta gol, kalau tidak kita tak akan dapat peluang empat pukulan sudut penalti manakala Argentina dapat satu sahaja. Tapi bezanya ialah kita tak menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti," katanya.

Amin juga mengakui barisan pemainnya cepat hilang fokus selepas Argentina memperoleh gol pertama mereka menerusi jaringan padang Bautista Capurro minit ke-20.

"Selepas gol pertama itu, kita boleh lihat pemain sudah mula hilang fokus dan tidak mengikut struktur permainan yang betul sehingga menyebabkan lawan terus datang menyerang," katanya.

Argentina terus garang apabila memperoleh gol kedua menerusi jaringan padang Marco Aguirregomezcorta minit ke-28.

Bersambung babak kedua, Argentina memperoleh pukulan sudut penalti pertama mereka minit ke-44 dan ia disempurnakan oleh Inaki Minadeo sebelum Juan Fernandez menambah gol keempat menerusi jaringan padang minit ke-48.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 3:05 PM