SUBAHAN (dua dari kanan) menyerahkan jersi terbaharu kepada Ketua Pegawai Penyelesaian Perniagaan Global TNB, Datuk Ahmad Hushairi Ibrahim (dua kiri), hari ini. FOTO BERNAMA
SUBAHAN (dua dari kanan) menyerahkan jersi terbaharu kepada Ketua Pegawai Penyelesaian Perniagaan Global TNB, Datuk Ahmad Hushairi Ibrahim (dua kiri), hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja lelaki negara tampil dengan jersi baharu yang mengekalkan warna kuning dan hitam pada saingan Piala Dunia Remaja (JWC) 2023 pada 5 hingga 16 Disember ini, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, jersi yang direka khas oleh KHM itu mengekalkan identiti kuning dan hitam sebagai simbolik kepada skuad Malaysia selain terdapat bendera sebagai lencana di bahagian dada.

"Kuning dan hitam, saya rasa warna itu membawa semangat sebagai atlet Malaysia," katanya kepada pemberita pada majlis Penyerahan Mock Cheque TNB dan Pengenalan Jersi Pasukan Young Tigers, di sini hari ini.

Terdahulu, skuad Young Tigers menerima suntikan semangat dana sebanyak RM1 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) selaku penaja utama Young Tigers.

Sementara itu, mengenai persiapan penganjuran JWC, Subahan berkata, segala persiapan berjalan lancar seperti dirancang oleh KHM.

"Kita amat yakin dapat anjurkan kejohanan dengan baik," katanya.

Menurut Subahan, tiga pasukan iaitu Chile, Australia dan Belgium telah tiba di Malaysia.

JWC adalah kejohanan dwitahunan bagi pemain hoki berusia 21 tahun ke bawah dan pada edisi kali ini, 16 pasukan mengambil bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 10:55 PM