SKUAD hoki negara.
SKUAD hoki negara.
Oleh Syafiq Aznan


Hangzhou: Di sebalik kekalahan di tangan Korea Selatan yang menyaksikan perebutan juara Kumpulan B terbuka luas namun kem hoki lelaki negara tetap diselubungi 'aura' positif menjelang aksi penting berdepan China, malam ini.

Nada tenang pengendali 'Speedy Tigers', Arul Selvaraj seakan memberi 'ramalan' betapa anak buahnya sama sekali tidak akan 'tersangkut' dan mampu meloloskan diri ke separuh akhir berdepan lawan yang ketika ini mendahului Kumpulan B.

"Kami akan bangkit kembali. Peluang memang bagus untuk menang dan masuk ke separuh akhir. Kita masih juga (mahu elak India) tetapi kita harus layak dulu dan menjuarai Kumpulan B.

"Kita akan tengok saingan bagaimana kerana Korea Selatan kalah satu, kita pun kalah satu tetapi mereka akan turun dahulu, kita turun perlawanan terakhir berdepan China. Jadi kita akan lihat daripada semua sudut," katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia bertemu China adalah pada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 yang menyaksikan skuad negara tidak berdepan masalah membenam lawan 5-1.

Bagaimanapun, skuad negara tidak boleh memandang rendah keupayaan tuan rumah apatah lagi mereka mengejutkan Korea Selatan 3-2 sebelum ini.

Sementara itu, pemain veteran, Razie Rahim mengakui rakan sepasukannya tidak lagi boleh melakukan kesilapan seperti ketika mereka tewas 3-4 di tangan Korea Selatan, kelmarin.

"Kita perlu menang perlawanan seterusnya (berdepan China) dan kita akan menonton semula video untuk melihat semula bagaimana kami dibolosi.

"Peluang (ke separuh akhir) tetap ada kerana kita fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Kita tidak boleh buat silap dan perlu tunjukkan permainan yang sempurna berdepan China nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 3:05 PM