Pemain negara menjaringkan gol ketika menentang Indonesia pada saingan peringkat kumpulan Sukan Asia 2022. - Asyraf Hamzah
Pemain negara menjaringkan gol ketika menentang Indonesia pada saingan peringkat kumpulan Sukan Asia 2022. - Asyraf Hamzah
Oleh Syafiq Aznan


Hangzhou: Skuad hoki negara bagaikan 'berpesta' di Sukan Asia 2022 yang menyaksikan mereka merakam 29 gol dalam tiga perlawanan pertama Kumpulan B.

Kemenangan besar ke atas Thailand, Oman dan Indonesia itu membolehkan 'Speedy Tigers' mendahului Kumpulan B dengan sembilan mata - berkelebihan jaringan ke China meskipun tuan rumah turut memiliki sembilan mata.

Namun di sebalik 'keghairahan' anak buah Arul Selvaraj 'membuli' lawan, timbul sedikit kebimbangan memandangkan tiga lawan pertama itu bukanlah cabaran sebenar menjelang aksi penting mereka berdepan Korea Selatan, hari ini.

"Tiga perlawanan pertama ini memang membantu kita mendapatkan momentum. Tetapi kita bermain tiga perlawanan selesa yang sepatutnya kita menang.

"Kalau tengok dari sudut lain, bahayanya ketiga-tiga perlawanan ini adalah intensitinya rendah, pasukan lawan pun tidak menekan kita jadi itu yang tidak bagus," kata Arul.

Justeru, tiada keputusan lain yang dimahukan Arul ketika berdepan pasukan di ranking ke-13 dunia itu selain kemenangan bagi memastikan gelaran juara kumpulan B terus berada dalam kawalan mereka.

"Kita sudah banyak kali bertemu Korea Selatan sebelum ini, di Jelajah Korea, di Trofi Juara Juara Asia (ACT), jadi pemain tahu bagaimana untuk berhadapan dengan mereka.

"Cumanya minda perlu sedia, kemahuan dan kepercayaan kena tinggi. Mentaliti pemain juga amat penting dan mereka harus nikmati perlawanan ini.

"Saya juga mahu lihat apa yang sudah saya ajarkan ketika latihan dan pertemuan pasukan dapat ditunjukkan di atas padang kerana kalau pemain tidak dapat lakukannya, saya akan malu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 12:41 PM