Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Biarpun skuad hoki remaja negara bolos tiga gol dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan ketika menewaskan Afrika Selatan Sabtu lalu, dua penjaga gol negara, Mohd Hamiz Mohd Ahir dan Che Shahrul Azmi Che Saupi tidak luntur semangat menjelang aksi suku akhir Piala Dunia Remaja menentang Perancis, esok.

Selepas kebal dan berjaya menghalang pasukan pilihan, Belgium daripada bermaharajalela pada aksi kedua Kumpulan A sehingga membolehkan Che Shahrul Azmi dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, gawang negara dilihat agak rapuh ketika berdepan Afrika Selatan.

Menurut Che Shahrul Azmi, setakat ini dia sudah melupakan aksi peringkat kumpulan dan fokusnya hanya terarah satu demi satu perlawanan dengan tumpuan selepas ini terarah kepada Perancis.

"Ramai yang memberi sokongan kepada saya (selepas aksi peringkat kumpulan) ia termasuk rakan seposisi, Hamiz dan juga barisan kejurulatihan. Semua memberi semangat agar saya lebih fokus untuk aksi seterusnya," kata Che Shahrul Azmi yang berasal dari Negeri Sembilan.

Skuad bimbingan Wallace Tan itu berjaya mara ke suku akhir selepas muncul naib juara dalam Kumpulan A di belakang Belgium dengan tidak mencatat sebarang kekalahan selepas tiga perlawanan.

Selepas membuka tirai aksi di Bhubaneswar, India dengan menumbangkan Chile 2-1, skuad remaja negara berjaya mengikat naib juara 2016, Belgium 1-1 dan mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas Afrika Selatan Sabtu lalu.

Perancis yang dibimbing Aymeric Bergamo, mara ke suku akhir selepas muncul juara Kumpulan B dan rangkaian serangan mereka dilihat begitu tajam hasil tiga kemenangan besar termasuk membelasah Kanada 11-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 6:00 AM