SUBAHAN berkata geran berkenaan adalah antara inisiatif diambil badan induk itu bagi membantu meringankan urusan pentadbiran persatuan hoki negeri. FOTO NSTP
SUBAHAN berkata geran berkenaan adalah antara inisiatif diambil badan induk itu bagi membantu meringankan urusan pentadbiran persatuan hoki negeri. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini menyalurkan geran pentadbiran berjumlah RM10,000 kepada setiap 14 belas persatuan hoki negeri dan dua ahli gabungan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MHC kali ketujuh yang berlangsung Selasa lepas.

Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal berkata geran berkenaan adalah antara inisiatif diambil badan induk itu bagi membantu meringankan urusan pentadbiran persatuan hoki negeri dan ahli gabungan yang terjejas dengan penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

"Walaupun agak mustahil untuk setiap persatuan hoki negeri dan ahli gabungan MHC untuk menganjurkan sebarang kejohanan liga pada tahun ini ekoran penularan wabak Covid-19, pihak pengurusan MHC tetap berasa bantuan kewangan perlu diberikan kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MHC.

Mengulas lanjut, Subahan memaklumkan MHC juga sedang meneliti kaedah terbaik untuk menambah jumlah bantuan yang bakal diberikan pada tahun hadapan selepas menilai kedudukan kewangan badan induk tersebut.

Beliau menjelaskan Jawatankuasa Kewangan, Penajaan dan Pemasaran MHC ketika ini, sedang berusaha untuk membawa masuk lebih ramai penaja bagi tahun depan.

"Dengan kehadiran lebih banyak penaja, pastinya ia akan membantu untuk menaikkan sukan hoki di Malaysia. Selain itu ia juga membolehkan MHC untuk menyalurkan lebih banyak bantuan kepada semua persatuan yang bernaung di bawah MHC," kata Subahan.

MHC sebelum ini memutuskan membatalkan penganjuran beberapa kejohanan hoki pada tahun ini termasuk Liga Hoki Remaja Kebangsaan yang dijadual berlangsung dari 25 Mac hingga 19 April lepas, susulan penularan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 8:03 PM