AMINUDDIN (tengah) dan Mohamad Taufek (enam dari kanan) pada majlis meraikan kejayaan skuad Tabah-NSEA yang meraih pingat gangsa di Sukan Sea Hanoi. FOTO Mohd Amin Jalil.
AMINUDDIN (tengah) dan Mohamad Taufek (enam dari kanan) pada majlis meraikan kejayaan skuad Tabah-NSEA yang meraih pingat gangsa di Sukan Sea Hanoi. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kejayaan skuad Tabah-NSEA meraih pingat gangsa dalam acara PUBGM (berpasukan) di temasya Sukan Sea Hanoi yang menutup tirainya Ahad lalu, mendapat penghargaaan kerajaan Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, hari ini mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM7,000 membabitkan RM5,000 daripada Pusat Pembangunan Belia Harapan (Tabah) dan RM2,000 daripada Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNNS).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, pihaknya melahirkan rasa bangga terhadap skuad berkenaan yang berjaya membawa balik pingat walaupun julungkali bertanding pada temasya terbabit.

"Skuad ini ditaja kerajaan negeri berjaya mempamerkan semangat juang tinggi walaupun kali pertama bersaing di pentas Sukan Sea. Malah, pada pentas penentuan pingat itu, mereka ketinggalan selepas 13 pusingan tetapi bangkit pada dua pusingan terakhir untuk mengutip mata terbaik sekali gus berjaya mengatasi Myanmar untuk merangkul pingat gangsa.

"Walaupun pada peringkat awal, mereka ini tidak menaruh harapan tinggi tetapi akhirnya mereka dapat membuktikan prestasi yang baik untuk membantu kontinjen negara," katanya pada majlis meraikan skuad terbabit di Kompleks Majlis Bandaraya Seremban di sini, hari ini.

Mohamad Taufek berkata, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM150,000 termasuk RM50,000 dari Tabah tahun ini bagi menyediakan persiapan terbaik menghadapi Sukan Sea Hanoi.

Menurutnya, walaupun belanja yang sangat sederhana, tetapi kejayaan yang mereka lakar ini adalah suatu yang membanggakan

"Kejayaan ini adalah suatu permulaan yang baik buat skuad ini dan pihak kita akan terus berusaha memperkasakan lagi pasukan ini untuk lebih menyerlah di pentas lain selepas ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA), Muhammad Faries Faizal, akui cabaran di Hanoi adalah sangat tinggi.

"Bagaimanapun cabaran itu berjaya diharungi dengan baik dan kelima-lima atlet yang bertanding menunjukkan komitmen tinggi sepanjang pertandingan. Walaupun sekadar meraih gangsa tapi ia amat berharga dan kami puas hati dapat menyumbang pingat buat kontinjen negara biarpun penyertaan kali pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 9:35 PM