ANGE Postecoglou dikaitkan dengan jawatan pengendali baharu England. REUTERS
ANGE Postecoglou dikaitkan dengan jawatan pengendali baharu England. REUTERS
AFP

London: Ange Postecoglou menegaskan beliau 'tidak mempunyai sebarang idea' mengenai laporan yang mendakwa bos Tottenham itu adalah calon untuk mengambil alih pasukan England.

Persatuan Bolasepak (FA) England memulakan pencarian mencari pengurus baharu berikutan keputusan Gareth Southgate untuk menamatkan tempoh lapan tahunnya membimbing The Three Lions selepas tewas pada final Euro 2024 di tangan Sepanyol.

Postecoglou menyertai jurulatih England Bawah-21, Lee Carsley; pengurus Newcastle Eddie Howe; bekas bos Chelsea, Mauricio Pochettino dan Graham Potter, serta bekas pengendali Bayern Munich, Thomas Tuchel dalam senarai calon berpotensi menggalas tugas itu.

Selepas musim pertama mengagumkan bersama Tottenham, yang menduduki tempat kelima di Liga Perdana Inggeris (EPL), Postecoglou diilihat calon terbaik bagi menggantikan Southgate, yang kerap dikritik kerana taktikalnya terlalu berhati-hati.

Namun, Postecoglou menegaskan tumpuannya tetap kepada Tottenham, yang memulakan aksi pra-musim mereka dengan kemenangan 5-1 ke atas kelab Liga Perdana Scotland, Hearts.

"Saya berada di permulaan pra-musim dan saya adalah pengurus Tottenham, jadi saya tidak ada apa-apa lagi (dalam fikiran saya) selain cuba membawa kejayaan kepada kelab bola sepak ini," kata Postecoglou.

"Sehingga saya menggalas tugas ini, tiada gunanya saya memikirkan perkara lain. Saya tidur sebentar, jadi saya tidak tahu apa yang sedang berlaku (dengan spekulasi ini)," katanya lagi.

Postecoglou pernah membimbing Australia dari tahun 2013 hingga 2017 termasuk pada Piala Dunia 2014 dan dua kali memenangi Liga Perdana Scotland bersama Celtic sebelum berpindah ke Tottenham pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 9:35 PM