NACHO sah meninggalkan Real Madrid. FOTO Ihsan Real Madrid
NACHO sah meninggalkan Real Madrid. FOTO Ihsan Real Madrid
Reuters

Madrid: Ketua pasukan yang juga tonggak pertahanan Real Madrid, Nacho sah akan meninggalkan Santiago Bernabeu selepas 23 tahun beraksi buat pasukan itu, kata kenyataan kelab LaLiga itu hari ini.

Pemain antarabangsa Sepanyol berusia 34 tahun itu sudah memenangi enam kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Real sejak menyertai akademi remaja kelab itu pada 2001, serta empat mahkota LaLiga dan dua Copa del Reys.

"Real Madrid mengumumkan bahawa kapten kami Nacho memutuskan untuk menamatkan kariernya sebagai pemain Real Madrid," kata kelab Sepanyol itu dalam satu kenyataan.

"Real Madrid ingin merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Nacho, salah seorang legenda hebat kelab kami.

"Nacho menamatkan kariernya di Real Madrid sebagai kapten yang menjulang trofi ke-15 (trofi Liga Juara-Juara) di Wembley, sebagai salah satu daripada lima pemain yang memenangi enam Piala Eropah dalam sejarah bola sepak dan dengan jumlah kejuaraan tertinggi dalam sejarah kelab kami".

Nacho dikaitkan bakal beraksi di saingan Pro Saudi dengan menyertai Al-Qadsiah.

"Sejak tiba di akademi ketika remaja, Nacho sentiasa menjadi contoh peningkatan untuk semua pemain dan dia berkembang cukup baik di bawah sistem latihan kelab.

"Real Madrid adalah dan akan sentiasa menjadi rumahnya," kata Presiden Real, Florentino Perez.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:05 PM