ARNAUTOVIC (kanan) memulakan kerjaya remaja di Belanda. FOTO AFP
ARNAUTOVIC (kanan) memulakan kerjaya remaja di Belanda. FOTO AFP
AFP

Berlin: Kapten Austria, Marko Arnautovic berkata Euro ketiganya adalah 'luar biasa' selepas pengalaman mengecewakan sebelumnya dalam kejohanan itu, ketika pasukannya mengintai tempat 16 terakhir.

Arnautovic adalah sebahagian daripada skuad Austria yang berjaya meledak hanya satu gol dan memungut satu mata pada Euro 2016, sebelum mereka mengalami kekalahan pada masa tambahan di peringkat 16 terakhir di tangan Itali tiga tahun lalu.

Kemenangan menentang Belanda di Berlin Rabu ini akan memastikan mereka di kedudukan dua teratas dalam Kumpulan D, manakala keputusan seri hampir pasti sekurang-kurangnya melengkapkan tempat dalam fasa kalah mati sebagai salah satu pasukan terbaik di tempat ketiga.

"Apabila saya bermain Euro pertama saya, itu tidak bagus. Yang kedua ialah Covid-19 jadi itu tidak bagus, tetapi yang ini sangat mengagumkan, sangat menyeronokkan," kata penyerang Inter Milan, Arnautovic.

"Senario optimum adalah untuk menang esok (Rabu) dan kemudian kita lihat tetapi yang paling penting ialah perlawanan esok."

Arnautovic hanya masuk sebagai pemain gantian dalam kekalahan 0-1 kepada Perancis, tetapi kembali dalam kesebelasan utama dan menjaringkan gol ketika kemenangan 3-1 ke atas Poland yang meletakkan Austria di ambang untuk ke pusingan seterusnya.

Dia memulakan kerjaya profesionalnya sebagai pemain remaja di Belanda bersama FC Twente dan berkata ia akan menjadi detik istimewa secara peribadi untuk menghadapi Oranje.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 11:01 PM