KOBE Jae Chong. FOTO AGENSI
KOBE Jae Chong. FOTO AGENSI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong mengambil pendekatan berdiam diri mengenai pilihannya untuk bersama kelab mana dalam saingan Liga Super kelak.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, dia mendapat beberapa tawaran daripada pasukan Liga Super namun perlu melihat terlebih dahulu sebelum menyertai kelab terbabit pada jendela perpindahan kedua.

"Saya tidak mahu memberitahu terlebih dahulu pasukan yang menjadi pilihan. Biarlah masa yang akan menentukan.

"Ketika ini, saya fokus untuk cuba sesuaikan diri dengan suasana dan keadaan bola sepak Malaysia," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, pemain warisan terbabit menjadi tumpuan apabila tiba di tanah air untuk beraksi bersama Liga Super.

Malah, Kobe juga kelihatan menjalani latihan bersama skuad Selangor FC baru-baru ini sekali gus timbul persoalan bahawa pemain terbabit bakal menyertai skuad Gergasi Merah kelak.

Mengikut rekod, Kobe pernah dikaitkan dengan Sri Pahang selepas pemain itu berjumpa dengan presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada Mei tahun lalu.

Kobe adalah produk akademi West Bromwich Albion selain pernah bersama kelab Itali, Cagliari, di peringkat remaja.

Selain itu, Kobe turut pernah menyatakan hasrat untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya dalam usaha membantu pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 3:37 PM