PEMAIN pertahanan Sri Pahang FC, Adam Nor Azlin (kiri) berusaha menghalang kelicikan penyerang  JDT,  Heberty Fernandes (kanan) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. -FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
PEMAIN pertahanan Sri Pahang FC, Adam Nor Azlin (kiri) berusaha menghalang kelicikan penyerang JDT, Heberty Fernandes (kanan) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. -FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru : Kesilapan Sri Pahang FC yang terlalu menghormati lawan khususnya tidak 'mengikat' Heberty Fernandes menjadi punca kekalahan selepas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu meledak hatrik untuk memastikan kemenangan 3-0 dalam aksi Liga Super, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, sebelum pemain turun ke padang beliau sudah mengingatkan pemainnya supaya tidak memberi ruang kepada penyerang kelahiran Brazil itu yang mempunyai sentuhan kaki kiri berbisa.

Katanya, pemain berkualiti seperti Heberty boleh menjadi pemusnah buat pasukan sekiranya dia dibiarkan bermaharajalela dan melakukan percubaan ke arah gawang terutama pada jarak 25 meter.

"Kesilapan kita ialah tidak menutup ruang Heberty. Saya sudah mengingatkan pemain yang pemain itu bahaya dengan kaki kirinya. Tapi pemain saya tidak mengikut arahan dan kita dihukum.

"Tidak ada orang yang melakukan terjahan, pemain kita cuma ikut sahaja. Mereka seharusnya mengawal ketatnya, sentuhan kaki kiri dia (Heberty) sangat berbahaya," katanya.

Dalam perlawanan itu, Heberty membuka jaringan seawal minit keempat menerusi rembatan kaki kirinya dan menambah dua jaringan pada babak kedua menerusi gol pada minit ke-66 dan tiga minit sebelum tamat perlawanan untuk melengkap jaringan hatrik.

Biarpun tewas 0-3, Fandi turut memuji pemain yang telah berusaha keras memberi tentangan sengit buat JDT walaupun tiada momentum perlawanan disebabkan tempoh rehat yang panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 2:10 PM