HEBERTY meraikan jaringannya. FOTO JOHOR SOUTHERN TIGERS
HEBERTY meraikan jaringannya. FOTO JOHOR SOUTHERN TIGERS
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Jaringan hatrik Heberty Fernandes membantu Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk meneruskan momentum kemenangan selepas membaham Sri Pahang FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, petang tadi.

Dengan kemenangan itu, ia memastikan skuad bergelar Harimau Selatan kekal di tangga teratas liga selepas mengutip 12 mata maksimum hasil empat kemenangan.

Dalam perlawanan itu, pengendali JDT, Hector Bidoglio membuat kejutan dalam kesebelasan utama selepas tiada kelibat dua ayam tambatan pasukan itu, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri, sebaliknya menyenaraikan Romel Morales mengemudi jentera serangan.

Seawal minit ke-4 permainan, skuad bimbingan Bidoglio mudah merobek gawang anak didik Fandi Ahmad selepas bola umpanan Juan Muniz membuka ruang buat Heberty yang merembat bola leret dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gawang, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Ketika aksi memasuki minit ke-13, JDT terlepas peluang menambah jaringan apabila bola hantaran jauh kapten, Jordi Amat tepat kepada Francisco Geraldes yang berjaya melepasi perangkap ofsaif namun bola rembatan kencang hanya sipi ke gawang gol ketika Muhammad Zarif Irfan sudah tertewas.

Tertekan selepas ketinggalan, skuad Tok Gajah menggempur benteng tuan rumah pada minit ke-33 namun bola umpanan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham tepat kepada Kpah Sherman yang bertindak memusingkan badan sebelum merembat bola leret namun mujur penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah bersedia menangkap bola kemas.

Berakhir babak pertama, JDT hanya mampu menjaringkan satu gol dan ternyata ketiadaan Bergson dan Forestieri yang tidak diturunkan dalam perlawanan itu menjejaskan kejituan barisan serangan ketika Morales agak mengecewakan sepanjang 45 minit perrmainan.

Sebaik babak kedua bermula, JDT tampak begitu agresif untuk menambah jaringan selepas bola umpanan Shio Hong Wan kepada Heberty di posisi sayap kiri pantas melintang bola untuk Muniz merembat bola di luar kotak penalti tapi Mohd Zarif Irfan berjaya menangkap bola.

Hanya bergantung kepada Heberty untuk kembali menceriakan kem JDT selepas ada tambahan gol pada minit ke-66 apabila pemain gantian, Endrick Dos Santos yang mengumpan bola ke belakang sekali gus membuka buat Heberty yang tidak dikawal merembat bola leret menewaskan Muhammad Zarif Irfan.

Akhirnya Heberty muncul wira buat JDT apabila melengkap jaringan hatrik pada minit ke- 87 selepas tindakan Muhammad Zarif Irfan yang cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya tapi pemain import dari Brazil itu pantas untuk mendapatkan bola sebelum merembat bola leret untuk melengkapkan kemenangan 3-0 buat JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 8:00 PM