PEMAIN KDN FC membuat persiapan bagi aksi Liga Super menentang PDRM FC. -FOTO KDN FC
PEMAIN KDN FC membuat persiapan bagi aksi Liga Super menentang PDRM FC. -FOTO KDN FC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Setiap RM1 daripada satu keping tiket jualan perlawanan Liga Super antara Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC akan disumbangkan ke tabung Palestin.

Inisiatif sumbangan ini dicetuskan Presiden kelab, Rozi Muhamad bagi membantu rakyat Palestin.

Katanya pelaksanaan ini bagi menunjukkan keprihatinan dan sokongan kelab kepada perjuangan rakyat negara itu yang berdepan kekejaman rejim Israel.

"Beli tiket sambil menderma kepada Palestin," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Perlawanan dua pasukan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke IV Kota Bharu pada malam esok.

Perlawanan itu adalah kali keempat skuad kijang emas dalam saingan Liga Super musim ini dengan tiga perlawanan sebelum ini mereka tewas kepada lawan masing-masing.

Dengan perlawanan yang bakal berlangsung di Kota Bharu, kelab kendalian Park Jae Hong berharap dapat menoktahkan kekalahan dengan membawa pulang tiga mata pertama.

Terdahulu, KDN FC turut menyokong Palestin dengan membawa masuk pemain kelahiran negara itu, Oday Kharoub yang juga kapten pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 2:05 PM