KULJANAC gembira selepas KL City meraih kemenangan pertama musim ini. Foto Mohd Amin Jalil. -FOTO Mohd Amin Jalil
KULJANAC gembira selepas KL City meraih kemenangan pertama musim ini. Foto Mohd Amin Jalil. -FOTO Mohd Amin Jalil
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Miroslav Kuljanac, akui gembira dengan persembahan diperagakan pemain pasukan itu selepas meraih kemenangan pertama musim ini menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC), 3-0, pada aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Pengendali itu menyifatkan kejayaan meraih tiga mata di tempat lawan itu membuktikan strategi yang diaturnya dapat direalisasikan dengan baik oleh pemain.

"Walaupun pada separuh masa pertama tidak banyak gerakan menarik dan percubaan tepat ke arah gawang lawan dapat dilakukan tapi sebenarnya pemain saya sedang berusaha mencari kelemahan lawan.

"Namun, dalam pada itu kita berjaya mendapatkan gol pada tempoh berkenaan.

"Pada separuh masa kedua, pemain mula fokus kepada sasaran untuk menewaskan lawan dan ia ternyata berhasil," katanya selepas perlawanan malam tadi.

KL City membuka tirai jaringan menerusi Brendan Gan pada minit ke-28, disusuli gol kedua oleh Poulo Josue (minit ke-73) dan S Sharvin pada minit ke-90.

Miroslav menegaskan bahawa prestasi terbaik yang dipamerkan anak buahnya itu adalah juga hasil latihan komprehensif yang dilakukannya.

Berikutan kemenangan itu, KL City kini menghuni tangga kelima carta liga selepas mengumpul empat mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 2:02 PM