KOBE Jae Chong. -FOTO X
KOBE Jae Chong. -FOTO X
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC mengesahkan tonggak kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong menjalani latihan bersama pasukan itu sejak Rabu lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, pemain yang cukup berpengalaman beraksi dengan beberapa kelab di England memohon untuk menjalani latihan bersama skuad Red Giants.

Katanya, sesi latihan itu lebih kepada latihan secara bersama dan barisan kejurulatihan berpeluang melihat lebih dekat kemampuan pemain berusia 23 tahun itu.

Namun beliau menegaskan, sebarang keputusan untuk mengikat pemain 'versatile' itu terpulang kepada perbincangan bersama ketua jurulatih, Nidzam Jamil dan tiada jaminan sepenuhnya khidmat Kobe ditagih buat masa ini.

"Kita terima jemputan dia (Kobe) untuk menjalani latihan bersama kami beberapa hari ini.

"Boleh dikatakan ia sesi latihan dan dia juga difahamkan ada menghubungi kelab-kelab lain untuk aturkan sesi latihan dengan kelab lain.

"Cuma dia bermula dengan kami saya rasa. Tak silap saya bermula (latihan bersama pasukan) hari Rabu minggu ini, dan masih ada sehingga hari ini.

"Itu (sama ada akan menawarkan kontrak) saya kena berbincang dengan jurulatih dulu berkenaan pemain tersebut, dan kita kena tanya jurulatih dulu," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Terdahulu, kehadiran Kobe di Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu menimbulkan pelbagai persoalan tentang masa depan pemain itu untuk beraksi di Liga Malaysia sekali gus berpeluang bermain untuk skuad Harimau Malaya selepas ini.

Kobe dianggap antara pemain banyak meraih pengalaman di Eropah seperti Dion Cools yang kini bergelar ketua pasukan negara.

Mengulas lanjut mengenai prestasi terkini Selangor FC, Johan akui anak buah Nidzam semakin menunjukkan peningkatan dan beliau berharap ia dapat dikekalkan sepanjang musim.

"Sudah tentu masih lagi awal dan masih ada ruang-ruang yang boleh diperbaiki dan saya nampak keserasian dan corak permainan nampak lebih meyakinkan dari satu perlawanan ke satu perlawanan dari pramusim hingga sekarang.

"Jadi saya harap mereka dapat teruskan momentum ini dan bawa momentum ini ke tahap lebih tinggi supaya kita dapat bertanding dengan baik di liga domestik dan di ACL II (Liga Juara-Juara Asia II) nanti," katanya.

Ketika ini, Selangor FC ketika ini menghuni tangga keempat Liga Super selepas mengharungi tiga aksi dengan merekodkan dua kemenangan dan satu kekalahan untuk mengumpul enam mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 1:48 PM