GARETH Southgate berdepan kritikan hebat ketika ini. FOTO AFP
GARETH Southgate berdepan kritikan hebat ketika ini. FOTO AFP
Agensi

London: Gary Lineker melancarkan 'serangan' terhadap England dan Gareth Southgate selepas mempamer prestasi hambar apabila sekadar seri 1-1 dengan Denmark di Euro 2024.

The Three Lions menerima kritikan hebat berikutan prestasi mengecewakan mereka pada perlawanan kedua Euro 2024, selepas mengambil langkah bertahan ketika mendahului 1-0.

Bercakap dalam podcast The Rest Is Football, bekas pemain England itu mengkritik skuad kebangsaan dengan nada keras.

"Anda boleh memikirkan pelbagai perkataan dan kata-kata kasar jika anda mahu, tetapi ia memang teruk," kata Lineker.

"Sukar untuk mengkritik Gareth Southgate kerana secara keseluruhannya dia berjaya mengubah nasib England tetapi tidak untuk kali ini," katanya lagi.

Beliau kemudian mempersoalkan Southgate mengapa bergelut untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang daripada skuad yang penuh dengan pemain berbakat.

"Jika ada yang mengatakan bahawa pasukan England tidak mencuba atau tidak memberikan 100 peratus, itu adalah mengarut.

"Mereka hanya sedikit tewas daripada segi taktikal. Dan itu datangnya dari pengurus.

"Dia perlu membuat England bermain lebih baik di atas padang sebagai satu unit. Kerana pada masa ini, mereka bukan satu unit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 9:23 PM