DAKU mengetuai sokongan penghinaan terhadap Macedonia Utara. FOTO Agensi
DAKU mengetuai sokongan penghinaan terhadap Macedonia Utara. FOTO Agensi
Reuters

Hamburg: Penyerang Albania, Mirlind Daku, yang mengetuai penyokong dalam laungan menghina Macedonia Utara menggunakan megafon selepas perlawanan, memohon maaf kerana mencetuskan emosi tegang ketika di Euro 2024.

Daku dirakam kamera menaikkan semangat peminat selepas Albania seri 2-2 dengan Croatia di Hamburg.

Ia mencetuskan permintaan memohon maaf daripada persekutuan bola sepak Macedonia Utara serta siasatan daripada badan bola sepak Eropah.

"Meminta maaf barulah jantan, dan saya merasakan kewajipan moral dan profesional untuk berbuat demikian, untuk semua mereka yang terluka," katanya dalam satu kenyataan berbahasa Albania di media sosial.

"Seperti mana pemain bola sepak lain, pada saat itu emosi berada pada tahap yang lain, yang hanya boleh difahami di atas padang. Sukar untuk menggambarkan perasaan bermain untuk pasukan kebangsaan ini, untuk peminat hebat yang memberikan kami kasih sayang tanpa had."

Albania hanya berada di kejohanan utama kedua mereka dan dibantu oleh beberapa penyokong paling fanatik yang dilihat setakat ini semasa kejohanan selama sebulan di Jerman.

"Maaf jika saya menyinggung perasaan sesiapa selepas perlawanan dengan Croatia, kesan daripada permainan itu membuatkan saya melakukan sesuatu," tambah pemain berusia 26 tahun itu dalam catatannya.

"Saya terus bekerjasama dengan seluruh kumpulan untuk impian kami."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 8:36 PM