PASUKAN lelaki Denmark tolak kenaikan gaji. FOTO Reuters
PASUKAN lelaki Denmark tolak kenaikan gaji. FOTO Reuters
AFP

Copenhagen: Pemain bola sepak lelaki Denmark menolak kenaikan gaji untuk bermain dengan pasukan kebangsaan bagi membolehkan skuad wanita menerima gaji asas yang sama.

"Pasukan lelaki memilih untuk tidak meminta kenaikan gaji...untuk memperbaiki keadaan pasukan wanita," kata jurucakap kesatuan pemain negara itu, Magnus Hviid kepada AFP.

Beliau mengalu-alukan 'tindakan luar biasa itu untuk membantu langkah kecil ini ke arah yang betul', tetapi mengakui 'masih ada lebih banyak ruang untuk memastikan peluang dan keadaan yang sama rata dalam pasukan kebangsaan'.

Hviid berkata, tindakan itu 'mendapat gaji asas yang sama rata untuk pasukan kebangsaan wanita dan lelaki, membolehkan perlindungan insurans yang lebih baik buat skuad wanita.

Perjanjian itu, yang ditandatangani pada akhir Mei, memperuntukkan bonus perlawanan yang sama untuk wanita dan lelaki semasa perlawanan di tempat lawan.

Bagaimanapun buat masa ini kerana tiada bonus untuk perlawanan di tempat sendiri masih terdapat perbezaan dalam gaji keseluruhan antara pasukan kebangsaan wanita dan lelaki.

Persekutuan bola sepak Denmark (DBU) dan kesatuan itu bersetuju untuk membawa rundingan mengenai perjanjian baharu pasukan kebangsaan wanita selepas cuti musim panas.

Denmark bersaing dalam Euro 2024 dan menduduki tempat kedua dalam Kumpulan C selepas mencatat dua keputusan seri menentang England dan Slovenia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:35 PM