BAGGIO (L) mengalami luka di bahagian kepala selepas dihentak dengan pistol. FOTO Reuters
BAGGIO (L) mengalami luka di bahagian kepala selepas dihentak dengan pistol. FOTO Reuters
Reuters

Rom: Bekas pemain antarabangsa Itali, Roberto Baggio dirompak dengan senjata api di rumahnya di utara Itali ketika menyaksikan perlawanan negaranya menentang Sepanyol di Euro 2024, kata polis tempatan.

Pencuri memecah masuk ke dalam rumah Baggio berhampiran Vicenza, memukul kepalanya dengan belakang pistol dan mengunci dia dan keluarganya di dalam bilik ketika mereka mencuri barang kemas, jam tangan dan wang tunai, lapor harian Il Corriere della Sera.

Beliau dikatakan mengalami luka yang dalam.

Baggio, 57, bermain untuk kelab termasuk Juventus, AC Milan dan Inter Milan.

Dia juga bermain 56 kali bersama Itali, menjaringkan 27 gol, dan dilihat secara meluas sebagai salah seorang pemain hebat sepanjang zaman negaranya.

Selepas rompakan itu, Baggio, yang dikenali secara meluas dengan gaya rambut 'ekor kuda', dirawat di hospital tempatan di mana beliau menerima jahitan untuk luka di kepala, lapor media Itali.

Itali tewas kepada Sepanyol 0-1 pagi tadi dan kini mesti mengelak kekalahan dengan Croatia untuk menjamin kemaraan dalam kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:19 PM