PENJAGA gol England Jordan Pickford gagal menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi rembatan kencang Hjulmand. FOTO Reuters
PENJAGA gol England Jordan Pickford gagal menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi rembatan kencang Hjulmand. FOTO Reuters
AFP

Frankfurt, Jerman: Jurulatih Denmark Kasper Hjulmand berkata, amat memalukan apabila pasukannya gagal memanfaatkan banyak peluang ketika seri 1-1 dengan England dalam aksi Kumpulan C Euro 2024, awal pagi tadi.

Denmark lebih mendominasi perlawanan di Frankfurt ketika England bergelut menepati status mereka antara pasukan pilihan kejohanan.

Harry Kane memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan untuk meletakkan pasukannya di depan tetapi rembatan kencang Morten Hjulmand menyamakan kedudukan sebelum rehat.

Percubaan Andreas Christensen dan Pierre-Emile Hojbjerg hanya sedikit tersasar dalam perlawanan yang dikuasai mereka.

"Saya tak boleh kata kami kecewa tetapi ia memalukan. Kami sepatutnya mendapat keputusan lebih baik," kata Hjulmand.

England menamatkan impian Denmark ke separuh akhir Euro 2020 tiga tahun lalu dan sejak itu skuad Hjulmand bergelut dengan prestasi yang menyaksikan mereka tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 dan hanya seri 1-1 dengan Slovenia dalam aksi pembukaan di Jerman.

Hjulmand menggesa pemainnya lebih tajam dan kekal fokus untuk memburu tempat ke peringkat 16 terakhir ketika menentang Serbia pada Selasa ini.

"Kami percaya boleh menang. Kami bermain dengan baik tetapi paling penting ialah kami beraksi seperti hari ini pada perlawanan akan datang," tambah Hjulmand.

England kekal di tangga teratas kumpulan dengan empat mata, dua mata di depan Denmark dan Slovenia.

Serbia tercorot dengan satu mata selepas seri 1-1 dengan Slovenia semalam hasil tandukan Luka Jovic pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 9:00 AM