AKINADE (kiri) hanya jaring satu gol setakat ini.
AKINADE (kiri) hanya jaring satu gol setakat ini.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang utama Terengganu FC (TFC), Ismaheel Akinade menafikan prestasinya merudum selepas hanya meledak satu gol dalam empat perlawanan.

Sebaliknya bekas penyerang Kelantan Darul Naim (KDN) FC musim lalu itu akui prestasinya kian meningkat bersama skuad Penyu itu setakat ini.

Terdahulu peminat setia skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu gusar dengan prestasi penyerang import baharu itu terutama setakat ini baharu menjaringkan satu gol.

"Prestasi saya setakat ini tidak begitu teruk sebagaimana anda saksikan, bagaimanapun persembahan itu bukanlah yang terbaik

diperagakan oleh saya.

"Saya percaya dengan menyertai lebih banyak perlawanan dengan minit permainan

bertambah terutama bersama pasukan baharu, corak permainan akan lebih meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Selain itu kerjasama daripada rakan sepasukan selain tunjuk ajar barisan kejurulatihan mampu meningkatkan lagi motivasi saya untuk terus membantu pasukan memburu kemenangan.

"Pada masa sama juga saya harapkan mampu menambah lagi bilangan jaringan terutama berdepan Kuching City FC (KCFC) pada aksi Liga Super di tempat lawan pada Sabtu ini," katanya ketika dihubungi.

Pemain yang pernah beraksi dengan kelab Ho Chi Minh City FC dalam Liga Vietnam itu setakat ini meledak gol pertamanya menerusi sepakan penalti ketika berdepan KDN FC untuk membantu TFC menang 3-0.

Berdasarkan kedudukan terkini selepas tiga perlawanan, TFC menghuni di tangga kedua liga dengan tujuh mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mengumpul sembilan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 1:17 PM