GELAGAT penyokong Serbia ketika menentang England. FOTO AFP
GELAGAT penyokong Serbia ketika menentang England. FOTO AFP
Agensi

Munich: Uefa membatalkan pas media wartawan Kosovo Arlind Sadiku di Euro 2024 susulan laporan mengenai isyarat sensitif dilakukannya terhadap penyokong Serbia ketika menentang England pada Ahad lalu.

Jurucakap Persekutuan Bolasepak Serbia (FFS) Milan Vukovic berkata, Sadiku memprovokasi penyokong Serbia ketika siaran langsung dengan membuat isyarat dua kepala burung helang dengan tangannya.

Isyarat itu melambangkan burung helang di bendera kebangsaan Albania yang boleh mencetuskan ketegangan antara rakyat Serbia dan etnik Albania yang menjadi majoriti penduduk Kosovo.

Selepas perang tamat pada akhir 1990-an, Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan daripada Serbia pada 2008 tetapi tidak mendapat pengiktirafan daripada Serbia.

"Uefa mengesahkan membatalkan pas akreditasi seorang wartawan susulan kesalahan tingkah laku ketika perlawanan Euro membabitkan Serbia dan England pada 16 Jun 2024," kata Uefa dalam satu kenyataan.

Sadiku memberitahu Reuters pasnya dirampas ketika sidang media Albania pada Selasa lalu.

Dia menyedari isyarat itu tidak profesional bagi wartawan tetapi menegaskan ia tidak mengganggu orang lain.

"Orang tak tahu perasaan saya ketika itu kerana saya trauma akibat perang," katanya sambil menambah dia mendapat ancaman bunuh di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 10:31 AM