SCALONI dan Lionel Messi ketika sesi latihan Argentina di  Atlanta, Georgia. FOTO Reuters
SCALONI dan Lionel Messi ketika sesi latihan Argentina di Atlanta, Georgia. FOTO Reuters
Reuters

Buenos Aires: Juara Piala Dunia, Argentina harus melupakan kejayaan terbaru mereka apabila memulakan misi mempertahankan gelaran Copa America, kata jurulatih Lionel Scaloni, 46, awal pagi tadi menjelang perlawanan pembukaan menentang Kanada, esok.

Kejohanan itu menghimpunkan 10 pasukan dari Amerika Selatan dan enam dari Amerika Utara, Amerika Tengah, dan Caribbean dalam Copa kedua yang dihoskan Amerika Syarikat.

Scaloni berkata, pasukannya mesti meningkatkan prestasi mereka untuk memenangi gelaran sekali lagi kerana menghadapi pasukan CONCACAF lebih sukar daripada bermain menentang pasukan Eropah atau Amerika Selatan.

"Kami bercakap tentang perkara yang sudah berlalu. Menjadi juara Piala Dunia dan Copa America sangat indah tetapi itu sudah berakhir.

"Setiap perlawanan bola sepak adalah berbeza, tiada perlawanan lebih mudah daripada yang lain. Banyak perkara boleh berlaku. Kesukaran bermain menentang Perancis, Brazil atau Kanada boleh menjadi sama.

"Ia akan menjadi Copa America yang sukar seperti biasa, kami bersedia untuk apa yang akan datang. Kami berada dalam keadaan baik, dengan idea yang jelas dan memahami kesukaran kejohanan ini," kata pengurus Argentina itu dalam sidang akhbar.

Menurutnya, menjelang perlawanan pembukaan mereka menentang Kanada, menikmati permainan adalah kunci kejayaan pasukannya selepas gagal memenangi final Copa pada 2015 dan 2016 serta tersingkir di separuh akhir pada 2019.

"Selain daripada gelaran, kami sudah menikmati banyak perkara. Ia satu keseronokan melihat bagaimana (pemain) memberikan yang terbaik.

"Itu membawa kepada satu pencapaian dan kami sudah menunjukkan bahawa walaupun kami tidak menang seperti pada 2019, kami mampu untuk terus maju dan menunjukkan anda boleh mencapai sesuatu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 10:01 AM