PROBIERZ (kiri) tagih khidmat Lewandowski. FOTO AFP
PROBIERZ (kiri) tagih khidmat Lewandowski. FOTO AFP
Reuters

Berlin: Poland berharap penjaring terbanyak mereka, Robert Lewandowski akan cergas untuk pertembungan Kumpulan D Euro 2024 menentang Austria Sabtu ini selepas tumbang 1-2 kepada Belanda dalam perlawanan pembukaan.

Lewandowski mengalami kecederaan paha dalam perlawanan persahabatan menentang Turki, dan walaupun dia disenaraikan di bangku simpanan bertemu Belanda, jurulatih Michal Probierz memutuskan untuk tidak menurunkannya.

"Dia (Lewandowski) diharapkan akan bermain menentang Austria, dia pemain yang sangat penting untuk kami," kata Probierz kepada pemberita selepas kekalahan kepada Belanda.

"Kami menunjukkan (menentang Belanda) bahawa kami boleh bermain bola sepak dengan sangat baik, kami mempunyai peluang, dan saya memberitahu para pemain untuk berikan yang terbaik, kami boleh menentang sesiapa sahaja ... semua pemain percaya bahawa kami bergerak dalam arah yang betul."

Austria juga tewas dengan satu gol dalam perlawanan pertama mereka menentang Perancis hasil jaringan sendiri daripada Max Wober, dan pertembungan Sabtu ini di Berlin menjadi perlawanan yang mesti dimenangi jika kedua-dua pasukan mahu mara jauh di Euro 2024.

Ketika Austria bergelut untuk mengatasi dominasi Perancis, pengganti Lewandowski, Adam Buksa memberikan pasukannya gol pendahuluan mengejut menentang Belanda sebelum jaringan penyamaan oleh Cody Gakpo.

Gol kemenangan pada minit ke-83 dari Wout Weghorst menyaksikan mereka meninggalkan Hamburg dengan tangan kosong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 8:43 PM