KAPTEN Argentina, Lionel Messi mengucup trofi Copa America yang dimenangi mereka pada edisi sebelum ini. FOTO AGENSI
KAPTEN Argentina, Lionel Messi mengucup trofi Copa America yang dimenangi mereka pada edisi sebelum ini. FOTO AGENSI
Agensi

London: Selain prestij memenangi kejohanan skuad kebangsaan yang tertua di dunia dan menjadi pasukan terbaik di benua Amerika Selatan, juara Copa America 2024 turut membawa pulang hadiah lumayan.

Kejohanan bermula sejak 1916 itu kini memasuki edisi ke-48 bermula 29 Jun hingga 14 Julai di Amerika Syarikat (AS) dan 16 pasukan akan berentap untuk merebut gelaran juara Copa America.

Argentina hadir sebagai juara bertahan selain kehadiran gergasi bola sepak dunia seperti Brazil dan Uruguay serta pencabar seperti Colombia, Chile, AS dan Mexico.

Jadi, berapakah hadiah kemenangan yang akan dibawa peluang juara Copa America 2024?

Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) akan membayar jumlah keseluruhan sebanyak RM338 juta kepada 16 pasukan yang layak, bermakna setiap pasukan akan mendapat RM9.41 juta hanya dengan layak beraksi di pertandingan itu.

Wang kemenangan akan terus berganda jika mereka layak ke pusingan seterusnya sehinggalah empat pasukan terbaik akan berentap di separuh akhir.

Pasukan yang tewas di separuh akhir akan berentap pada penentuan tempat ketiga dan pasukan tempat ketiga mendapat RM23.5 juta manakala pasukan keempat beroleh RM18.8 juta.

Naib juara Copa America akan memenangi RM32.9 juta sementara juara akan membawa pulang RM75 juta yang akan dibahagikan kepada pemain, barisan kejurulatihan.

Sebahagian daripada wang kemenangan itu juga akan diagihkan kepada tabung badan induk bola sepak masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 8:05 PM