SUHAIMI kembali berada dalam kesebelasan utama selepas tersisih tiga aksi Liga Super akibat cedera. FOTO GHAZALI KORI
SUHAIMI kembali berada dalam kesebelasan utama selepas tersisih tiga aksi Liga Super akibat cedera. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penjaga gol Terengganu FC (TFC), Suhaimi Husin mengakui tahap keyakinannya kian meningkat selepas beraksi buat kali pertama musim ini pada minggu lalu.

Terdahulu pemain kebangsaan itu beraksi cemerlang ketika membantu pasukannya melangkah ke suku akhir saingan Piala FA selepas menumpaskan Perak FC 2-1 pada 14 Jun lalu.

Bagaimanapun jelas pemain kelahiran Besut itu, dia memerlukan kerjasama dan sokongan padu daripada rakan sepasukannya, barisan kejurulatihan dan peminat bagi memastikan pintu golnya tidak dibolosi dalam perlawanan seterusnya.

"Selepas terlepas tiga aksi awal Liga Super akibat cedera dan hanya beraksi kali pertama pada musim ini ketika berdepan Perak FC, Jumaat lalu, tahap keyakinan saya kian bertambah.

"Lagipun saya tidak berdepan masalah kerana sudah biasa bermain dan berharap momentum persembahan dapat ditingkatkan lagi dalam perlawanan seterusnya.

"Pada masa sama, saya harapkan kerjasama rakan sepasukan terutama di posisi pertahanan dapat mengekang pergerakan pihak lawan bagi mengelak pintu gol daripada dibolosi," ujar pemain berusia 29 tahun itu.

Sepanjang ketiadaan bekas penjaga gol kelab T-Team itu, pintu gol TFC dikawal pemain muda, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Selepas tiga perlawanan liga serta satu perlawanan Piala FA, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu baharu melepaskan dua jaringan dengan kedua-dua gol itu ketika berdepan Perak FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 6:12 PM