Pertembungan Itali menentang Sepanyol dinantikan penyokong bola sepak antarabangsa.
Pertembungan Itali menentang Sepanyol dinantikan penyokong bola sepak antarabangsa.
Reuters

Dortmund: Sepanyol dan Itali yang tampil dengan versi baharu akan berentap bagi aksi yang dinanti-nantikan pada Kejuaraan Eropah 2024 yang turut menampilkan pertembungan antara bekas juara Eropah.

Kedua-dua pasukan menunjukkan corak permainan berbeza daripada yang dijangkakan oleh penyokong pada aksi di Jerman.

Sepanyol membelasah Croatia 3-0 dengan corak permainan yang lebih pantas dan 'direct' berbanding corak penguasaan bola 'tiki-taka' yang menyaksikan mereka mendominasi Eropah pada 2008 dan 2012 selain menjulang Piala Dunia pada 2010.

Dengan ketiadaan generasi emas seperti Xavi Hernandez, Andres Iniesta dan Xabi Alonso, Sepanyol kini bertukar kepada pendekatan lebih fleksibel di bawah kendalian pengendali baharu, Luis de la Fuente yang lebih sesuai dengan skuad lebih muda dan versatil.

"Pasukan ini berubah menjadi pasukan yang memiliki pelbagai wajah.

"Negara lain tidak tahu apa jenis serangan yang akan kita gunakan dan ini menggembirakan saya kerana ia dapat meletakkan Sepanyol kembali ke tahap seperti yang dijangkakan," kata De La Fuente.

Sementara itu, juara bertahan, Itali yang tumbang 0-4 di tangan Sepanyol pada final 2012 turut mengubah pendekatan mereka di bawah kendalian Luciano Spalletti.

Tidak lagi menggunakan pendekatan bertahan dengan sistem tradisi 'catenaccio', Spaletti menerapkan pendekatan lebih menyerang yang membantu mereka menewaskan Albania 2-1 pada aksi pembukaan.

Di bawah Spaletti, Itali cuba menguasai permainan dan mendominasi ruang kecil di atas padang dengan sentiasa menekan lawan sekali gus memberikan ruang kepada Nicolo Barella dan Lorenzo Pellegrini melakukan hantaran kepada Davide Frattesi dan Federico Chiesa.

Pertembungan dua corak permainan ini di Gelsenkirchen pasti menjanjikan aksi yang menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 1:36 AM